Kawasan-kawasan Popular Subramaniam (dewa)

India Selatan

Murugan adalah lebih popular dalam kalangan orang Tamil yang merujuknya sebagai Thamizh Kadavul (Dewa Tamil). Antara nama-nama dewa ini dalam bahasa Tamil ialah Seyon, Senthil, Vēlaṇ, Kumāran, Saravaṇa, dan Arumugam. Subramanya juga seorang dewa utama dalam kalangan Hindu di utara Kerala, Karnataka, Andhra Pradesh dan Telengana. Upacara seperti "nagaradhane" adalah amat unik di bahagian Uttara Kannada di Karnataka.

India Utara

Pengaruh Skanda dalam agama dan budaya boleh dilihat sejak zaman Gupta. Dua orang raja Gupta dikenali sebagai Kumaragupta dan Skandagupta. Ukiran-ukiran zaman Gupta di kuil-kuil Ellora mempunyai beberapa arca dan ukiran Skanda. Mata wang yang mengandungi imej Skanda juga telah ditemui dari empayar Kushan yang memerintah wilayah yang kini dikenali sebagai Peshawar, dan empayar Yaudheyas, satu kerajaan di wilayah Punjab. Sebagai Dewa peperangan, Skanda amat popular dalam kalangan kerabat raja dan pemerintah-pemerintah seperti dinasti Ikshvaku, empayar Gupta dan suatu dinasti di Andhra.

Namun, kepopularan Kartikeya di India Utara mula berkurangan sejak zaman Pertengahan. Kini, penyembahan-Nya hanya wujud di beberapa bahagian Haryana. Di pekan Pehowa, Haryana terdapat sebuah kuil yang amat popular untuk Skanda. Namun, oleh kerana Skanda di kuil ini ialah seorang Brahmachari, golongan wanita tidak dibenarkan untuk memasuki kuil ini. Kuil-kuil Skanda juga berada di Achaleshwar, berdekatan Batala di Punjab dan di atas bukit Parvati, di Pune, Maharashtra. Satu lagi kuil Subrahmaṇya yang popular ialah Kartik Swami Mandir di Panchavati, di Nashik, Maharashtra. Di Maharashtra juga, golongan wanita dihalang untuk memasuki kuil-Nya.

Malaysia

Murugan ialah salah seorang dewa yang popular dalam kalangan orang Tamil di Malaysia dan lain-lain negara di Asia Tenggara seperti Singapura dan Indonesia. Perayaan Thaipusam telah diiktiraf sebagai cuti umum di negeri Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan. Selain penganut-penganut tempatan, orang-orang Hindu dari seluruh dunia, seperti India, Australia, Singapura, Thailand dan Eropah juga mengunjungi Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves semasa Thaipusam.

Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves merupakan suatu kuil utama dan ikonik di Malaysia. Sebuah patung Dewa Murugan setinggi 42.7 meter (140 kaki) telah didirikan pada Januari 2006 di Batu Caves. Ia adalah patung Dewa Muruga yang tertinggi di dunia.

Selain Batu Caves, terdapat 3 lagi kuil Murugan yang terkenal di Malaysia iaitu:

  • Kuil Kallumalai Temple di Ipoh, Perak,
  • Kuil Arulmigu Balathandayuthapani di Pulau Pinang; dan
  • Kuil Sannasimalai di Melaka